The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

REVIEW PERLAWANAN: Gergasi Merah Ikat Sang Singa (CIMB Liga Super 2020)

Sep 27, 2020 - FAS

Misi Selangor untuk mengutip 3 mata penuh menentang UiTM FC tidak berjaya selepas mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 dalam satu aksi sengit yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Selangor yang dibimbing oleh Michael Feichtenbeiner selaku pemangku Ketua Jurulatih bermula garang dari wisel permulaan permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang UiTM FC.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Ifedayo Olusegun bijak menyudahkan peluang terhidang selepas menerima umpanan dari Sandro Da Silva untuk meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-24 permainan.

Sandro terus menceriakan kem Selangor dengan menggandakan jaringan kedua buat Selangor hasil rembatan deras dari luar kotak penalti pada masa tambahan aksi separuh masa pertama untuk menjadikan kedudukan semasa 2-0.

Tersentak dengan kedudukan itu, skuad UiTM yang dibimbing oleh Frank Bernhardt terus menukar rentak permainan mereka untuk aksi separuh masa kedua.

Mereka tidak menunggu lama selepas Gustavo Almeida berjaya menjaringkan gol pertama UITM FC pada minit ke-47 berpunca dari sepakan penjuru sebelah kanan pintu gol Selangor.

Gol tersebut jelas memberi motivasi buat pemain UiTM FC untuk terus mengasak kubu Selangor dan sekali lagi Gustavo mencatat nama selaku penjaring selepas beliau berjaya menyudahkan hantaran lintang dari Rabih Ataya pada minit ke-58.

Cuma berselang 4 minit, giliran Rabih Ataya pula menghukum kubu pertahanan Selangor selepas beliau bijak melakukan ‘placing’ dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Selangor, Khairulazhan untuk menjadikan kedudukan 2-3 buat UiTM FC.

Tersentak dengan kedudukan semasa, Michael Feichtenbeiner melakukan 5 pertukaran pada babak kedua dengan mengeluarkan K.Sarkunan, Rufino Segovia, Taylor Regan, Sandro Da Silva dan Ashmawi Yakin yang digantikan dengan Aliff Haiqal, Tamil Maran, Khyril Muhymeen, Sean Selvaraj dan K.Prabakaran menuju ke penghujung permainan.

Dengan tidak mengenal erti putus asa, usaha Selangor menekan kubu pertahan UiTM memuahkan hasil apabila mereka diberikan sepakan penalti selepas pengadil mendapati bola terkena tangan pemain UiTM FC.

Ifedayo tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan sekaligus menjadikan keputusan penuh 3-3.

“Saya berpuas hati dengan aksi pemain pada babak pertama, kita mendominasi permainan dan mendahului dengan dua jaringan. Walaubagaimanapun, saya memuji semangat juang pemain ketika ketinggalan 2-3 dan kita akan perbaiki kelemahan dari segi pertahanan untuk perlawanan akan datang," ujar Michael selepas tamat perlawanan.

Keputusan seri ini meletakkan Selangor kekal di kedudukan ke-8 liga dengan mengutip 11 mata dari 9 perlawanan, 12 mata di belakang pendahulu liga dan 5 mata di atas zon penyingkiran.

Selangor dijadualkan menentang PDRM di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 Oktober 2020 untuk perlawanan CIMB Liga Super yang seterusnya.

Fakta Perlawanan


1. Penampilan sulung (debut) untuk Aliff Haiqal bersama Selangor untuk saingan CIMB Liga Super 2020.
2. Ifedayo Olusegun telah menjaringkan 7 gol untuk saingan CIMB Liga Super 2020, 2 gol dibelakang penjaring terbanyak liga ketika ini (Shahrel Fikri - 9 Gol).